Pembelajaran interaktif melalui Program Simulasi Haji




Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Ihsan Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 29 Mei. - Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah baru-baru ini mengadakan Program Simulasi Manasik Haji melibatkan seramai 660 murid dari Tahun 1 hingga Tahun 4 bertempat di Dewan Sekolah berkenaan.


Program Simulasi Haji merupakan satu aktiviti Pendidikan Islam yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai Rukun Islam Kelima iaitu menunaikan ibadah haji serta memperkenalkan tatacara pelaksanaan ibadah berkenaan secara praktikal dan interaktif.


Melalui simulasi tersebut, para pelajar didedahkan dengan beberapa tatacara utama dalam ibadah haji antaranya niat ihram, tawaf, sai dan melontar jamrah.


Program berkenaan dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pertama diadakan dari pukul 7.30 hingga 9.00 pagi bagi pelajar Tahun 1 dan Tahun 2, manakala sesi kedua berlangsung dari pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari bagi pelajar Tahun 3 dan Tahun 4.


Antara objektif utama program ialah memberi kefahaman awal mengenai rukun dan wajib haji secara praktikal, di samping menanam minat serta kecintaan terhadap ibadah dalam Islam dalam kalangan pelajar. Program berkenaan juga dihasrat dapat membantu memperkukuhkan lagi pembelajaran yang menyeronokkan melalui aktiviti simulasi.


Close